KUALA LUMPUR: 22 jam yang lalu, suami pelakon Ayu Raudhah, Zaquan Adha ada memuat naikkan status di laman Twitter miliknya bertulis, Saya tak sanggup tengok isteri diperlakukan sebegitu.. lepas ini, no more shooting!!! Status itu dimuat naik dengan hashtag #lagendabudaksetan3.
BACA : Isu "Pukul Ayu Raudhah" - Iqram Dinzly Mohon Maaf Kepada Zaquan dan Ayu
Difahamkan status itu dimuat naik beliau selepas menonton filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (LBS3) yang dibintangi isterinya. Dalam filem itu yang kini sedang ditayangkan, Ayu
memegang watak Zahirah dan suaminya bernama Shan dilakonkan Iqram Dinzly.
Zahirah dalam filem itu memang sering dipukul Shan. Plot bertambah menarik apabila Iqram Dinzly turut memuat naik status di laman Twitter miliknya sekali gus kelihatan seperti memberi maklum balas kepada apa yang ditulis Zaquan.
Plot terus hangat apabila Farid Kamil bintang utama filem yang sama menulis di laman Twitternya berbunyi, setahu saya Ayu memang ditendang betul-betul di lokasi LBS3. Zaquan turut mengungkap semula apa yang ditulis Farid.
BH Online menghubungi Ayu sebentar tadi untuk mendapatkan reaksi beliau mengenai isu ini.
"Saya pernah maklumkan suami mengenai babak yang saya akan lakonkan dalam LBS3 tetapi ketika itu dia tak nampak keadaan sebenar babak berkenaan. Hanya selepas menontonnya sendiri, baru dia cakap seperti apa yang ditulisnya di laman Twitter.
"Cuma tak sangka pula, dia akan muat naik status berkenaan. Malah ketika pratonton, dia memang tengok separuh jalan filem itu. Mungkin tak tahan tengok saya 'dipukul' dalam filem berkenaan ditambah dengan anak saya menangis.
"Lucunya, anak sulung saya berumur setahun setengah menangis sebab tengok babak saya dipukul. Tapi itu tak bererti suami akan halang saya berlakon lagi. Mungkin kalau watak sedemikian rupa yang agak ganas, dia akan larang. Kalau babak biasa, dia ok," kata adik kepada Rozita Che Wan ini.
Boleh Ayu komen sedikit mengenai babak dengan Iqram itu?
"Memang kebanyakan babak membabitkan saya dengannya memerlukan aksi pukul memukul di antara suami isteri. Ketika penggambaran berlangsung, memang beberapa kali babak perlu dirakamkan semula kerana saya tak tahan dipukul.
"Trauma juga dengan setiap babak itu. Tapi bila tengok hasil babak yang dilakukan, ia nampak cukup mengesankan padahal ketika penggambaran azabnya hanya Tuhan saja yang tahu. Ada ketika penggambaran memang ada babak saya dicekik Iqram, hingga saya tak boleh bernyawa.
"Kepala saya ditunjal pun ada. Babak saya ditendang betul seperti yang ditulis Farid pun benar-benar saya alami. Bahkan ada juga babak saya ditolak sampai jatuh ke lantai," katanya.
Menurut Ayu lagi, setiap kali penggambaran dilakukan, Iqram akan minta maaf dengan apa yang dia lakukan kepada saya. Ayu menjelaskan beliau tidak mempunyai isu dengan Iqram.
"Cuma apabila melakukan babak yang seterusnya, dia (Iqram) akan mengulangi benda yang sama. Kalau tanya masa penggambaran dulu, jawapan saya mungkin tak perlulah sampai memukul dengan betul-betul sekalipun nak menjiwai watak.
"Benda dah lepas. Tapi saya agak serik untuk berlakon watak seumpama ini lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment