Perkara-perkara jijik dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi budaya negara ini tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia membabitkan selebriti tempatan.
Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya amat peka dengan isu yang melibatkan sensitiviti penonton dan tidak akan mengikut format program itu yang mendedahkan peserta dengan perkara-perkara tidak senonoh.
"Jika melihat format program asal, peserta akan diuji dengan memakan benda-benda yang menjijikkan, tetapi ia tidak akan berlaku dalam program ini.
"Ia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya negara kita. Namun ujian yang melibatkan rasa ketakutan, ketinggian dan psikologi mental masih lagi digunakan kerana itu adalah sebahagian 'fear factor' dalam program ini," katanya pada pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia
Seramai 30 selebriti (dibahagikan kepada 13 kumpulan) menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia antaranya Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Azam Pitt, Gambit Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air), Norisham Ismail dan Johan As'ari.
Bakal menjalani penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober sehingga 15 November depan, para selebriti ini bakal melalui pelbagai ujian yang menguji tahap ketahanan serta keberanian diri selain melakukan pelbagai aksi-aksi lasak dan mencabar.
Selain itu, pihak Astro telah memilih Aaron Aziz sebagai pengacara bagi mengendalikan program yang akan disiarkan di Astro Ria dan Mustika HD nanti.
No comments:
Post a Comment